SHARE

KANGAR: Satu projek pembangunan mega yang bakal menjadi mercu tanda negeri ini akan dibangunkan di Persiaran Jubli Emas, di sini, dalam tempoh terdekat membabitkan kos bernilai RM368 juta.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, berkata projek menelan belanja paling besar dalam sejarah negeri membabitkan usaha sama Safuan Group dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKNEPs).

MENTERI Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man. – Foto Azhar Ramli
Katanya, projek yang akan dibangunkan di atas tanah seluas 1.58 hektar berdekatan Hotel Putra Regency membabitkan tiga blok setinggi 42 tingkat.

“Pembinaannya membabitkan setiap blok mengandungi enam tingkat podium yang mempunyai pusat beli-belah, ruang pameran, panggung wayang dan medan selera.

“Selain itu, turut dibina hotel bertaraf lima bintang, kondominium, pangsapuri, kolam renang, gimnasium, sauna serta kemudahan 1,455 parkir kereta,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran projek pembangunan Kangar City Centre (KCC), di sini, hari ini.

Azlan berkata, projek pembangunan yang dijangka siap pada 2020 ini membabitkan dua fasa, di mana fasa pertama akan bermula dalam tempoh terdekat.

Katanya, pembangunan KCC ini adalah sebahagian usaha untuk menjadikan Perlis negeri bandaraya menjelang 2030.

“Apabila siap kelak, lebih 2,000 peluang pekerjaan menanti buat rakyat negeri ini, sekali gus meningkatkan lagi taraf hidup rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here