SHARE

KANGAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis membuka tender tempahan bagi nombor pendaftaran kenderaan ‘RR’ kepada orang awam bermula Isnin ini hingga 19 Jun.

Ketua Bahagian Korporat, Mohd Tarmizi Ghazali, berkata pihaknya menjangkakan nombor pendaftaran negeri itu mendapat sambutan apabila gabungan huruf RR mempunyai keunikannya tersendiri.

Sebelum ini, katanya, kutipan tertinggi hasil daripada tender nombor pendaftaran Perlis adalah RM7 juta bagi plat RM.

“Kami jangka RR mendapat kutipan hampir sama dengan RM kerana kombinasinya boleh menggabungkan nama suami isteri atau bapa atau ibu.

“Harga nombor terbabit dibahagi kepada tiga kategori iaitu 1 hingga 10 bermula dengan RM10,000; nombor menarik bermula RM2,000 dan nombor popular bermula RM300,” katanya yang dihubungi BH di sini hari ini.

Mohd Tarmizi berkata, pihaknya yakin ia mendapat sambutan menggalakkan berikutan banyak panggilan telefon dan individu yang hadir ke JPJ Perlis untuk bertanyakan tarikh pembukaan tendernya.

“Nombor pendaftaran Perlis dianggap unik kerana masih menggunakan dua huruf malah kini tempahannya bergerak pantas seperti negeri lain,” katanya.

Orang ramai yang berminat boleh mengemukakan tempahan kepada Pengarah JPJ Perlis di sini dan panduan serta syarat-syarat lanjut mengenai tempahan boleh dilayari di laman web JPJ di http://www.jpj.gov.my/.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here