SHARE

ARAU , 27 Julai (Bernama) — Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan mengurniakan anugerah pencapaian gemilang Yayasan Tuanku Syed Putra 2017 (YTSP) kepada dua atlet paralimpik negara Abdul Latif Romly dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi.

Penghargaan bagi menghargai jasa kedua-dua atlet berkenaan yang merupakan anak jati Perlis yang telah mengharumkan nama negara dengan meraih pingat emas pada Paralimpik Rio 2016.

Majlis yang berlangsung di Istana Arau turut disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan Isteri Datin Seri Nor Aswana Omar.

Abdul Latif dan Mohamad Ridzuan masing-masing menerima pingat dan sijil penghargaan serta wang tunai RM6,000.

Antara pencapaian membanggakan lain Abdul Latif ialah mempertahankan pingat emas dan memecah rekod kejohanan acara lompat jauh lelaki T20 dalam Kejohanan Dunia Olahraga Para 2017 di London baru-baru ini.

Abdul Latif yang memenangi emas di Rio dengan membuat lompatan sejauh 7.37 meter sekal igus memadam rekod kejohanan yang dicatatnya 7.35m di Doha, Qatar pada 2015.

Abdul Latif yang kini akan memulakan latihan intensif bagi menghadapi Sukan SEA ke-29 berkata kepada pemberita beliau berazam mecahkan rekod lompatan peribadinya sejauh 7.6m serta menyasarkan emas bagi Sukan Para ASEAN ke -9 pada September nanti.

Sementara itu Mohamad Ridzuan yang mesra dengan panggilan ‘Dik Wan’ turun menyasarkan untuk memecahkan rekod larian peribadinya dengan catatan masa 12.01 saat pada Sukan Para ASEAN ke -9.

Antara atlet anak Perlis lain yang menerima pingat Cemerlang YTSP ialah Bakri Ibni dan Yusri Che Lah (bola sepak), Somnet (lumba basikal) dan pelumba basikal wanita negara Anis Amira Rosidi.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here