SHARE

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mahu institusi masjid di negeri ini lebih aktif dalam menganjurkan pelbagai program pembangunan insan secara holistik yang mampu menjana kecemerlangan ummah.

Baginda bertitah program yang diadakan di masjid juga perlu diberi nafas baharu dan ditambah baik dari segi pelaksanaannya dari semasa ke semasa agar lebih berkesan kepada masyarakat kerana masjid bukan sahaja perlu dipenuhi dengan ilmu kerohanian semata mata.

“Malah masjid boleh berperanan dalam menyampaikan maklumat bermanfaat seperti kesihatan, penjagaan alam sekitar mahupun bidang keusahawan yang selaras dengan tuntutan islam,” titah baginda semasa merasmikan masjid Al- Barakah, Jelempok di sini malam tadi.

Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid turut berkenan menghadiri perasmian itu yang turut diiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizzuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu dan Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Baginda bertitah komitmen semua pihak terutama anggota qariah dan pegawai agama yang dilantik amat diharapkan untuk merancang program keilmuan yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat Islam terutama golongan belia untuk sentiasa mendekati masjid.

“Beta berharap semoga masjid baharu ini dapat berfungsi dengan berkesan, selaras dengan tuntutan agama serta menjadi contoh yang melambangkan kesucian ajaran Islam seterusnya menjana kemajuan yang seimbang dalam kalangan masyarakat setempat,” titah baginda.

Selaras dengan tuntutan Islam, baginda turut menasihati seluruh rakyat agar sentiasa prihatin, berbaik sangka, bertoleransi dan bekerjasama selain menghormati sesama kaum dan agama demi keharmonian dan keamanan sejagat terus dimartabatkan dalam masyarakat berbilang kaum.

Masjid berkenaan yang mula dibina pada Mac 2014 siap pada Januari lepas dengan kos bernilai RM2.5 juta hasil sumbangan beberapa pihak termasuk agensi swasta.

Pada majlis itu baginda turut berkenan mengagihkan sumbangan berjumlah RM530,000 daripada Majlis Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi program Ihya Ramadan 1437 Hijrah kepada semua 106 buah masjid di Perlis.

Bantuan Ramadan itu diagihkan sebanyak RM5,000 bagi setiap masjid untuk tujuan pengimarahan masjid sempena bulan puasa. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here