SHARE

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, melahirkan rasa khuatir dengan pihak tertentu yang tidak senang dengan keharmonian dan kesatuan yang wujud di negeri ini, yang mana sikap sedemikian disifatkan baginda harus ditolak.

Pihak berkenaan, titah baginda suka membuat pelbagai dakwaan yang tidak berasas, malah mencabar perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh yang demikian, baginda meminta rakyat supaya sentiasa berwaspada dan bersatu hati menolak anasir sebegini yang menimbulkan sentimen hasutan dan fitnah.

Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Pengurniaan Darjah dan Pingat Kebesaran sempena sambutan Hari Keputeraan Raja Perlis Ke-74 di Istana Arau, di sini, hari ini.

Yang turut berangkat ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Raja Perlis pada masa sama mengingatkan rakyat bahawa perpaduan dan keharmonian negeri adalah faktor penting dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pembangunan ekonomi.

“Sebarang perbezaan fahaman politik ataupun agama yang diamalkan janganlah sampai memecah-belahkan perpaduan masyarakat, sebaliknya kita semua hendaklah berusaha untuk memahami dan meraikan kepercayaan orang lain demi keharmonian dan pembangunan sejagat.

“Semangat muhibbah dan perpaduan antara kaum juga mestilah terus disemai dan diamalkan di semua peringkat baik dari kanak-kanak hingga ke peringkat dewasa termasuklah semangat muhibbah di dalam jabatan dan organisasi masing-masing,” titah baginda.

Selain itu, Raja Perlis ketika titah sama turut memuji inisiatif kerajaan negeri merancang dan memulakan projek berimpak tinggi seperti kawasan Perindustrian Lembah Chuping atau Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kangar, Projek Pembangunan Bercampur Kuala Perlis dan Kangar City Centre (KCC).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here